Kahar: Kapla High Council (2024)


DEFINISI ORANG JAHAT ADALAH ORANG BAIK YANG TERSAKITI

Jangan risau, review ini bebas daripada spoiler.

Usai menonton sebuah filem prequel-sequel daripada drama bersiri yang tular dalam Astro Originals, Project: High Council, aku dapat simpulkan bahawa filem ini merupakan "public service annoucement" yang disulam rapi kepada generasi masa kini akan bahayanya buli dan merayakan rasa memberontak dalam diri. Mengapa aku katakan filem ini prequel-sequel, kerana selain ianya mengisahkan tentang bagaimana Kahar daripada selurus-lurus benak menjadi seliar-liar budak menaiki takhta sebagai kapla High Council, sebuah badan yang mengawal pelajar-pelajar Kolej Ungku Deramat (KUDRAT), ianya juga menceritakan apa yang terjadi kepada Kahar selepas 'death to the High Council' dalam episod terakhir Projek: High Council itu.

Apa yang menariknya tentang filem ini?

Selalunya filem-filem berloghat Pantai Timur ini, aku perlu mengharapkan sutradara dari Pantai Timur seperti Sabri Yunus atau Syahmi Sazli, tetapi menariknya hampir 60% dalam filem ini dituturkan dalam loghat Pantai Timur (tak pasti sepenuhnya Kelatan atau ada juga loghat Terengganu). Sebagai seorang yang tidak mempunyai ramai kawan Pantai Timur, apabila aku mendengar Beja (Aedy Ashraf) dan Bechik (Amir Ahnaf) berbual dalam loghat Pantai Timur, aku rasa macam kagum. Tapi, jangan risau, bagi mereka yang tak memahami loghat Pantai Timur ketika mereka berbual tu, subtitle Melayu-Inggeris-Cina disediakan.

Lakonan dalam filem ini terasa neutral dan dibawakan dengan baik, kredit aku berikan kepada Amir Ahnaf, Aedy Ashraf, Hushairy Hussein, Sky Iskandar dan Fadhli Masoot. Nampak garang dan matang, kita yang melihat pun merasa geram dan kesian. Ketika melibatkan emosi, kita turut tersentuh hati. Tak kurang juga bagi fans Projek: High Council, cameo-cameo dalam siri itu juga 'mengubati kerinduan' anda dan membuatkan anda excited sikit seperti cameo dalam filem Marvel haha.

Jalan cerita dalam filem ini juga disusun dengan baik, transisi daripada babak ke babak juga tidak memeningkan kita sebagai penonton, biarpun adakalanya melibatkan perbezaan tahun ketika mereka menuntut di KUDRAT dan luar KUDRAT. Sinematografi juga cantik dan aura filem, lagu latar dan sound effects juga sedap didengar. Babak aksi dalam filem ini memang kita rasa tak senang duduk dan rasa ngilu apabila tumbukan itu 'menyinggah' ke badan pertarung manifesto, tahniah kepada koreografernya. Setup tempat di KUDRAT juga nampak lebih fresh, biarpun hanya tertumpu kepada 2-3 lokasi sahaja.

Moral filem ini tidaklah terlalu berat untuk difahami. Bagaimana anda hendak mengawal diri anda daripada terjebak dengan perkara-perkara tidak bermoral, bagaimana anda hendak memenuhi impian keluarga anda dengan baik, betapa pentingnya komunikasi dalam keluarga berbanding dipendam dan akhirnya berdendam, bagaimana pentingnya ada kawan-kawan yang boleh ingatkan anda berbanding meracuni anda untuk buat benda tak elok; banyak pengajaran yang anda boleh dapat sebaik saja anda keluar daripada pawagam itu.

Jadi, apa yang kurang best?

Tidaklah banyak, dan tidaklah mengganggu mood anda untuk menyelami kisah Kahar. Antaranya bagi aku, ketika third act, konsepnya itu sama seperti episod terakhir Projek: High Council. Ada juga backstory yang menarik untuk diketengahkan terutamanya konflik melibatkan watak Megat dan Jojo, lebih-lebih lagi Megat yang badannya tegap tapi babak aksinya kurang.

Bagi aku, filem Kahar: Kapla High Council adalah filem aksi yang baik dan menarik untuk ditonton. Kalaupun anda belum sempat untuk menonton Projek: High Council, jangan risau, ada flashback dalam filem ini pada awal filem mengenainya. Di akhir filem ini ada dua babak akhir kredit; satu mengenai Kahar dan cameo, satu mengenai ayah Kahar. Nikmati perjalanan hidup Kahar yang anda boleh relate dengan kehidupan anda dan ambillah pelajaran daripadanya.

RATING UNTUK FILEM INI: 4/5

Ulasan