Gohan (2026)

Aku telah menonton filem Gohan (2026), terima kasih GSC atas tayangan terlajak awal untuk filem ini. Memandangkan aku pernah menonton buah tangan produsernya iaitu How to Make Millions Before Grandma Dies yang telah membuatkan aku menitis air mata, filem ini juga tidak kurang kalahnya untuk membuatkan kita menangis tanpa sedar.

Penceritaan yang penuh pengembaraan dan emosi mengenai seekor anjing putih bernama Gohan (yang kemudian namanya bertukar-tukar mengikut fasa dalam filem ini) yang melalui 3 fasa dan ujian berbeza. Aku juga menyedari filem ini diarahkan oleh 3 pengarah berbeza, maka tidak hairanlah ada 3 fasa yang aku rasa sentuhan jalan ceritanya berbeza, tetapi cara dihubungkan antara satu sama lain itu sangat kemas dan tersusun. Yang pasti, melalui fasa-fasa ini, filem ini berjaya "menampar lembut" penonton-penonton tentang kasih sayang dan erti sebenar sesebuah "keluarga".

Selain kekuatan filem ini terletak kepada kecomelan dan betapa "kesian"nya kita dengan anjing ini, plot penceritaan juga boleh aku katakan agak unik dan related dengan mereka-mereka yang menyayangi haiwan dan juga kekeluargaan. Melihatkan tajuk filem ini seakan-akan nama Jepun, filem ini juga menampilkan satu lagi keunikan apabila setiap fasa yang aku maksudkan itu mempunyai bahasa yang berbeza iaitu Jepun, Myanmar dan Thailand, dengan latar tempatnya di Thailand.

3 fasa dalam filem ini bagaikan menaiki "rollercoaster", apabila ada cabaran dan ujiannya tersendiri, tetapi tidaklah sampai ke tahap "seni berat" kerana sekali kita tonton setiap fasa itu, kita tahu apa mesej dan nilai yang ingin disampaikan, terutamanya isu eksploitasi haiwan (dan manusia), dan kasih sayang sesama manusia dan manusia dengan haiwan. Ada beberapa babak dalam filem ini yang agak menyentuh hati (satu babak membuatkan aku berjurai air mata), terutamanya babak penutup yang menyimpulkan ketiga-tiga fasa dengan menyentuh perasaan.

Menyentuh aspek teknikal, sinematografi filem ini sangat sedap mata memandang dengan landscape view yang indah. Pelakonnya juga tidak kurang hebatnya, komedinya ada secukup rasa, namun permainan emosi memberatkan segalanya.

Ringkasnya, filem ini sangat sesuai untuk mereka yang sukakan atau ada haiwan peliharaan ataupun yang menjadikan drama sebagai genre pilihan untuk ditonton di wayang, Gohan adalah naskhah indah untuk dihayati dan diselami. Sediakan tisu sebelum 'hujan', filem Thailand yang ini berbaloi dan tidak mengecewakan. Gohan akan menemui Malaysia di pawagam pada 21 Mei 2026.

Rating untuk filem ini: 4/5 ⭐



Ulasan