Aku telah menonton filem "6 Jilake" arahan sutradara terkenal, Aziz M Osman bersama isteri aku malam tadi. Hall pun tidaklah penuh, kalau termasuk kami berdua, ada dalam lebih kurang 5 ke 6 orang, tapi faham je sebab hari pertama tayangan kan. Tiada sebarang expectation menggunung, hanya hadir ingin menyokong karya-karya tempatan kita. Maka, kami menempuhi lebih 2 jam 10 minit dalam panggung itu untuk memahami apa yang dihidangkan kepada kami.
6 Jilake ni cerita pasal apa sebenarnya?
Jalan cerita filem ini mudah difahami, mengisahkan seorang musafir bernama Kuping lakonan Amerul Affendi, yang datang ke Kampung Ketayap di Perak, yang tidak semena-mena menjadi pahlawan apabila 6 sekawan menggelarkan diri mereka "6 Jilake" datang untuk mengawal kampung itu atas arahan Belanda. Macam-macam benda dilalui oleh Kuping dengan penduduk-penduduk kampung di situ dan 6 sekawan itu menjadikan journey dia bukan biasa-biasa.
Apa yang aku suka dengan filem ini?
Yang pertama adalah sinematografinya. Vibes filem ini mengingatkan aku kepada filem Senario: Lang Buana. Shot yang diambil terutamanya melibatkan nature seperti sungai, kawasan hutan dan perkampungan ala-ala zaman dahulu memang sedap mata memandang. Shot aksi dalam filem ini juga not bad, terasa intensenya walaupun fighting scene dia memadai.
Yang kedua adalah dari segi idea. Aku suka macam mana filem ini diinspirasikan daripada sejarah dahulu kala iaitu Syarikat Hindia Timur Belanda ingin menguasai bijih timah di Perak. Walaupun plot filem ini hanya berskala kecil kerana hampir keseluruhan jalan cerita melibatkan perjuangan Kuping di Kampung Ketayap, tetapi still kita merasakan "vibes" pada waktu itu.
Yang ketiga adalah pemilihan pelakon-pelakon. Filem ini ramai menampilkan pelakon-pelakon yang otai dan kita kenal. Aku dapat merasakan filem ini bagaikan memberikan tribute kepada Allahyarham Mamat Khalid kerana pelakon-pelakon daripada karya beliau juga muncul dalam filem ini. Selain itu, filem ni juga ramai cameo yang kita akan "eh, dia pun berlakon sekali", biarpun mereka semua muncul dalam runtime yang sedikit saja.
Yang keempat adalah skrip. Tidaklah sempurna tetapi kena pada latarnya. Aku suka penggunaan dialek Perak dan dialog-dialog bersahaja yang dilontarkan dalam filem ini. Skrip oleh pelakon-pelakon komedi juga aku rasa okay sebab yalah, kita dah familiar dengan lakonan mereka, jadi ada yang akan mencuit hati kita.
Yang kelima adalah filem ini banyak mengambil reference yang kita tak asing dan "eh, macam familiar", seperti meme dan ayat-ayat viral. Tidak dilupakan juga bagaimana filem ini menggunakan nama-nama kuih tempatan kita seperti Badak Berendam, Kaswi, Lepat, Sira dan banyak lagi, yang pastinya kita akan cari balik selepas keluar daripada filem ini. Yang seterusnya adalah mesej yang disampaikan dan kritikan sosial yang dapat difahami oleh penonton, seperti kritikan politik tua dan muda, kualiti kepimpinan, amanah dalam memikul tanggungjawab, pentingnya menjaga tanah air, pentingnya bersangka baik sepanjang masa dan ingat kepada Sang Pencipta tak kira masa.
Itu sahaja yang aku suka mengenai filem ini. Ini hanyalah pandangan peribadi aku, mungkin ada yang setuju, mungkin ada yang tidak. Benda-benda yang aku kurang dalam filem ini, aku harap ianya akan menjadi penambahbaikan untuk karya-karya filem tempatan kita pada masa yang akan datang.
Yang pertama adalah dari segi humor dan jenaka. Ada certain lawak, adakalanya menjadi, ada yang seakan mencuit dan kita tersengih, ada yang terlalu try hard, terutamanya daripada pelakon-pelakon yang kita tahu cara dia berjenaka dalam filem-filem / drama sebelumnya. Ada seketul dua lawak double meaning. Panggung terasa canggung apabila lawak-lawak yang macam memaksa untuk kita ketawa.
Yang kedua adalah dari segi jalan cerita. Bagi aku, plot dan jalan ceritanya kurang kemas walaupun seakan punya hala tuju. Separuh bahagian pertama filem ini menggunakan konflik yang sama antara Kuping dan "6 Jilake" itu, dan bagi aku, durasi 2 jam 10 minit lebih ini terasa sangat panjang, ada babak yang meleret (bagi tujuan humor), dengan romantis di antara Kuping dan Kaswi yang adakalanya menjadi dan tidak.
Yang ketiga adalah CGI, mungkin boleh diperbaiki kerana terlalu ketara penggunaannya walaupun sedikit saja. Lebih-lebih lagi, babak hujan ketika konflik pertengahan filem tu terlalu obvious sangat dan aku lebih prefer babak itu menggunakan teknik hujan yang betul agar lebih emotional.
Yang keempat adalah plot twist dalam filem ini. Pada pertengahan filem, aku suka dengan plot mengapa Kampung Ketayap ini sangat berharga, tetapi pada pengakhiran filem, plot twistnya seakan "tiba-tiba" dan membuatkan aku dan isteri aku "lah pulak dah". Cara penyelesaian filem ini pun terlalu mudah dan tak puas walaupun dah terasa intense apabila Belanda campur tangan. Termasuk juga dengan certain bahagian yang filem ini yang dijadikan motif mengapa Kuping berkelana tetapi akhirnya macam disia-siakan.
Yang kelima adalah dari segi aksi. Amerul Affendi hampir menyelamatkan filem ini sebenarnya, walau tidak keseluruhan. Babak pertarungan Kuping dengan 6 Jilake dan "tentera-tenteranya" pun sekadar rasa sahaja, tetapi aku tetap ingin memuji Wan Gegau dan Saiful Apek yang pandai beraksi dalam filem ini.
Kesimpulannya, naskhah terbaru Aziz M Osman ini tetap menarik biarpun ada kekurangannya. Mungkin akan ada sesetengah penonton yang mudah terhibur akan menikmati filem ini. Mungkin filem ini bukanlah selera aku sebab aku dan isteri terasa seperti "apa yang kita baru tonton tadi?" sebaik saja keluar daripada wayang, tetapi tetap aku memberikan pujian atas usaha filem ni dibuat kerana nampak mahal dan unik.
Oh ya, terima kasih GSC sebab beri aku merchandise mug ni! Dan satu lagi, jangan keluar wayang ketika kredit keluar sebab ada satu mid-credit scene. Jom kita support filem tempatan kita di pawagam, since filem ini sudah mula ditayangkan pada 24 April 2025.
Rating untuk filem ini: 2.5/5 ⭐
Ulasan
Catat Ulasan