Keluang Man (2025)


What a memory lane!

Selesai sudah menonton filem Keluang Man, sudah lama rasanya aku dan kita semua tidak menyantap filem adiwira. Kali terakhir rasanya (kalau kita tolak tepi 'keindahan' Badang) adalah Cicakman.

Izinkan aku berkongsi rasa dan pandangan peribadi, yang mungkin sama-sama kita iyakan atau nafikan.

Menonton latar tempat yang acapkali digunakan dalam filem ini sememangnya mengingatkan aku pada filem Cicakman yang pertama terutamanya pada second act kerana aksinya dan lokasinya menggunakan rencah yang serupa. Penggunaan tema neon dalam filem ini dan menghiasi bandar fiksyen ini membuatkan filem ini nampak 'hidup' dan vibrant. Aku tiada masalah dengan visual praktikal filem ini, malahan muzik latar pun baik-baik saja. Semua lagu dalam filem ini benar-benar menggamit nostalgia, dan ianya bukan diletakkan secara rawak, malah kena pada babak yang sedang diceritakan.

Filem ini bergenre komedi aksi, dan pemilihan Nas-T sebagai teraju utama nampaknya tidak mengecewakan. Humor dan jenakanya kebanyakannya sampai dan menghiburkan. Pastinya mata kita tidak akan jemu memandang Dr Malini yang cantik rupawan dan Inspektor Sahab yang ada membawa mesej pendirian. Filem ini kaya dengan cameo, dan semua pelakon yang muncul dalam filem ini sangat berkaitan dengan karya-karya yang pernah menghiasi zaman muda-mudi kita, termasuk juga muka-muka yang selalu muncul dalam karya-karya pengarah sebelum ini. Ada penggunaan prop, snek dan makanan juga menggamit kenangan, biarpun product placementnya jelas ketara mempromosikan.

Jalan cerita dalam filem ini agak menarik pada fasa awal dan pertengahan, tapi kurang kick dan epik pada akhiran. Babak aksi diberikan pujian untuk dua fasa pertama tapi mendatar ketika menyimpulkan. Reference kepada rancangan dan meme juga diklasifikasikan mencuit hati, biarpun adakalanya secara tiba-tiba. Plot twistnya juga seakan dapat diteka seawal lagi tapi dilayankan kerana komedi yang bertalu-talu disajikan. Antagonis yang sebenarnya aku rasakan tidak sengeri watak antagonis si Shamsir, malah aku lebih suka Shamsir berada dalam peranan menentang protagonis sehingga habis. Visual CGI... aku rasa ianya disengajakan untuk kelihatan "nampak sangat CGI", mungkin agar bersifat komikal dan tidak terlalu serius, sehinggakan kucing Oyen pun dikomputerkan berbanding diambil di jalanan.

Kesimpulannya, Keluang Man sebuah filem adiwira yang menghiburkan dan benar-benar memuaskan. Ada yang mengatakan ini adalah Deadpool versi tempatan dan ternyata seakannya. Barangkali ada yang terhibur, ada yang merasakan sia-sia wang dilebur, bergantung kepada selera masing-masing. Namun, ianya naskhah yang perlu diberikan pujian, lebih-lebih lagi ianya kunci kepada sebuah universe yang besar dalam jangka masa panjang. Aku suka apabila di bahagian kredit, ianye menggunakan konsep versi animasi seakan tribute kepada tuan asal IP. Oh ya, ada satu mid-credit scene sebelum panggung wayang cerah semula. Syabas, Anwari Ashraf atas naskhah yang satu ini! Ayuh semua, kembalikan nostalgia kita dengan menonton Keluang Man!

Rating untuk filem ini: 3.5/5 ⭐

Ulasan