F1® The Movie (2025)


P/S: Review ini tidak mengandungi spoiler, jangan risau.

Selesai menonton filem mengenai sukan perlumbaan, Formula One iaitu F1® The Movie dalam format IMAX, ini merupakan filem pertama aku menonton dalam format ini selepas experience aku menonton variasi format seperti 2D, BIG, 4DX, MX4D dll. Premis filem ini pun nak memahaminya pun senang, walau tak lenang pace tak tenang, bagaimana sebuah pasukan underdog dalam sukan F1 "dari kucing nak jadi singa".

Aku bukanlah seorang peminat sukan perlumbaan F1 ni, aku menonton filem ini sebab pengarahnya, Joseph Kosinski yang sebelum ni pernah direct filem Top Gun: Maverick yang aku tonton beberapa kali di panggung wayang dalam pelbagai format.

Apa yang aku suka tentang filem ini?

Brad Pitt. Fuhhh, biarpun umur dalam lingkungan Tom Cruise, tapi dia punya aura dan karisma dalam filem ini lain macam. Dia punya ego dan bersahajanya itu membuatkan kita enjoy dengan wataknya.

Memandangkan aku tonton filem ini dalam format IMAX, kepuasan menonton memang sangat "max". Visualnya cantik gila, audio dia sedap didengar. Aku suka shot perlumbaan dalam filem ini sebab selain daripada drone shot, dia ada POV driver shot yang realistik. Ini kalau tonton filem ini dalam format 4DX mesti lebih umphhh!

Plot dan jalan cerita pun kemas dan tersusun. Terasa adrenalin seluruh badan apabila menyaksikan babak-babak permulaan yang secukup rasa dalam filem ini. Filem ini dia macam rollercoaster, dia bagi aksi, kemudian drama, kemudian aksi, konflik sikit, aksi, drama sampailah ke akhir penceritaannya. Humor dia pun boleh tahan juga.

Kita juga ditunjukkan secara detail dan lebih dekat bagaimana teknikal Formula One ni dari segi selok-belok kereta lumba, angin, brek, pentingnya krew pit dan krew di belakang tabir. Aku tak dapat bayangkan berapa agaknya kos yang dibelanjakan produksi sebab melibatkan beberapa litar lumba terkemuka di seluruh dunia: Jepun, Abu Dhabi dll. Sukar aku nak bezakan mana satu CGI mana satu praktikal sebab semuanya nampak realistik, seakan menggunakan pelumba-pelumba dan kereta lumba F1 yang sebenar. Ditambah pula menggunakan logo-logo brand terkenal seperti Shell, Ferrari dan Petronas!

Penggunaan skor muzik dan lagu memang kena pada tempatnya dan memang menaikkan suasana. Ditambah pula suara pengulas Formula One yang menambah intensiti aksi perlumbaan, adrenalin dia rasa macam... begini rasanya menonton F1 (maklumlah, selama ni tengok gitu-gitu aje).

Konflik dalam filem ini pun berat and biasa berlaku dalam kehidupan kita apabila melibatkan kerja berpasukan dan senior-junior. Aku sampai "gasp" bila konflik di pertengahan cerita, agak lama, sebelum babak tu berakhir, sebab it's unexpected moment. Moral value dalam filem ini pun disulam dengan baik, dari segi kerjasama, kepercayaan, keyakinan, pentingnya patuh arahan.

Pengulangan kata-kata hikmah yang dipegang watak utama berkenaan "Drive Fast" pun mengingatkan aku pada filem Soloz: Game of Life ("walau apapun terjadi, jalan terus") kerana diulang beberapa kali dalam filem ini.

Apa yang aku tak suka dalam filem ini?

Aku perasan LPF ada censor kata-kata carutan yang mungkin "terlalu eksplisit" sebab F dan S word dia tak censor pun haha tapi benda ni minor je, cuma kita jadi awkward bila orang tu bercakap tapi takde dialog, baca subtitle baru faham dia tengah mencarut.

Penutup filem terasa agak rush, dan keputusan watak yang... bagi aku sebagai penonton bagaikan "diluah mati mak, ditelan mati bapa". Mungkin terbaik buat watak itu, tetapi tidak untuk aku haha sebab bagi aku better dia berada dalam F1 berbanding berada di 'situ', tapi aku faham, motif dia kuat.

Dan... aku 'keciwa' takde meme "tutututuuu, Max Verstappen" dalam ni hahaha, joke aside.

Kesimpulannya?

Filem ini bagai mengulangi template naskhah pengarahnya terdahulu iaitu Top Gun: Maverick dari segi flow cerita, membuatkan ianya menarik untuk ditonton. Aku rasa berbaloi dan berpuas hati menonton filem ini dengan durasi lebih kurang 2 jam 40 minit dengan aksi, drama dan info teknikal tentang F1 itu sendiri. Aku rasa peminat sukan perlumbaan F1 akan enjoy dan suka dengan filem ini sebab filem ni banyak cameo (pada aksi perlumbaan) pelumba-pelumba dari sukan itu sendiri. Oh ya, filem ini tiada post credit scene, jadi kalau dah keluar kredit tu, dah boleh balik. Aku dah berhasrat nak tonton untuk kali kedua filem ini dalam format 4DX pula sebaik tayangan rasmi bermula.

Rating untuk filem ini: 5/5 ⭐

Ulasan