Konspirasi (2026)


Aku memuji filem ini kerana ideanya yang menarik, biarpun sebenarnya bukanlah yang baharu kerana kita sudah disajikan dengan fiksyen kepolisan, ketenteraan dan badan-badan keselamatan yang lain.

Filem ini juga mengangkat penceritaan yang unik dan jarang disentuh pengkarya tempatan, iaitu politik, lebih-lebih lagi mencipta watak fiksyen Perdana Menteri, Menteri-Menteri dan ahli-ahli politik.

Filem ini juga menyajikan dengan aksi-aksi yang menarik, adegan kejar-mengejar, baik dalam terang mahupun dalam gelap.

Namun, sayangnya, ianya gagal menambat hatiku selaku penonton awam.

Aku yang berada di bangku penonton terasa bagai diceramah dengan pujangga dan bait-bait integriti, bagi melambangkan SPRM ini bukanlah mudah dikuasai ataupun tidak boleh dipercayai.

Filem ini juga menghadirkan konflik berskala besar pada negara, namun bagaikan tiada sedikit kekhuatiran dalam kerajaannya mahupun rakyatnya. Konflik kecil seperti isu keluarga apatah lagi, bagaikan datang dan pergi begitu saja, tahu-tahu penamat yang bahagia.

Selain mencuba mewujudkan plot twist yang bagi aku, tidaklah mengujakan, disusuli pula selepasnya last act yang... terasa lemah gemalai.

Dan pastinya yang wajib disentuh, penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang nyata ketara, kerana digunakan dalam babak aksi yang sedikit mencelakan.

Aku berharap jika ada lagi filem melibatkan badan beruniform atau keselamatan, moga digarapkan dengan baik dan menghadirkan kekaguman. Moga Tuan Pengarah punya idea sentiasa mencurah-curah untuk karya selepasnya.

Rating untuk filem ini: 2/5



Ulasan