Aku pernah 'dikecewakan' dengan filem yang membawa genre atau tema yang lebih kurang serupa iaitu Sangkar (2019), yang mempertaruhkan sukan MMA dalam penceritaan. Kebetulan, Zul Ariffin pun berlakon dalam filem itu.
Dan baru-baru ini, aku telah menonton tayangan awal filem The Furious: Pertaruhan Maruah, dan ini adalah ulasan tanpa spoiler. Filem ini diarahkan oleh pengarah baharu, Heng Aik Siong, dibantu dengan 4 penulis. Aku tak pernah tonton filem-filem sukan tinju (ada yang recommend tonton trilogi Creed) malah bukanlah peminat sukan tinju, tapi apa boleh aku katakan, lepas menonton filem ni, aku nak faham dan kenal sukan tinju itu macam mana hahaha.
Cerita filem ini mudah saja, ada orang "membahan" nama bapa, sekaligus memperlekehkan bapa dua adik-beradik ni, pastinya mereka tak akan berdiam diri dan ingin membela maruahnya, biarpun ada ujian dan halangan menimpa.
Apa yang aku suka tentang filem ini adalah jalan cerita dan plotnya yang seimbang di antara aksi tinju dan drama yang diketengahkan. Filem ini ada konflik-konflik yang dibawakan dan menariknya, ianya diselesaikan dengan baik tanpa tergantung atau ditinggalkan. Sangkaan aku dalam filem ini juga meleset apabila memasuki second act kerana ada twist penceritaan, kerana aku ingatkan filem ini akan berkisar watak Sky Iskandar semata (jika menonton trailer). Second act dan third act adalah yang aku tak jangka dan aku tak jangka aku akan teruja dengannya.
Aksi boxing dalam filem ini pastinya secukup rasa, baik dari babak latihan hinggalah ke babak pertarungan. Semuanya digarap dengan baik, shot yang diambil sangat sinematik tapi mampu memberikan intense. Aku akui aksi penutup membuatkan aku teruja dan bersorak bagaikan menonton aksi tinju itu di depan mata aku sendiri.
Filem ini juga bermain dengan emosi kerana mengetengahkan drama dan nilai kekeluargaan dan keakraban adik-beradik. Ada satu babak hampir saja membuatkan aku mengalirkan air mata, kerana melihat Zul Ariffin menangis. Bukan sahaja tu, ada juga dialog dan babak yang menyentuh jiwa melihatkan chemistry yang menjadi antara watak Firdaus (Zul Ariffin) dan Hakim (Sky Iskandar). Moral yang diselitkan bukanlah terletak pada dialog semata-mata, malah "show and tell".
Dari segi lakonan, debut Sky Iskandar sebagai "watak utama" tidak mengecewakan dalam membawa watak Hakim yang rebellious. Ikmal Amry selaku antagonis adalah watak yang aku rasa tidaklah cringe, berbanding lakonan beliau dalam filem Soloz. Dialognya, "kurang ajar"nya, benar-benar membuatkan penonton geram seribu bahasa, malah terasa aura Gen Z yang kuat. Sandra Lim juga ada peranannya, menampilkan sisi wanita penuh aksi. Zamarul Hisham yang legend pun terasa sangat penting, menyokong "The Furious" secara keseluruhannya.
Jikapun ada kekurangan dalam filem ni hanyalah kecil sahaja, iaitu ada babak yang dirasakan draggy dan berulang-ulang, namun ianya tidak menjejaskan pengalaman menikmati filem ini secara keseluruhannya.
Aku masuk tanpa sebarang expectation, hanya ingin menikmati, dan jujurnya aku terhibur dan puas dengan apa yang disajikan. Jangan lupa tonton filem The Furious: Pertaruhan Maruah pada 28 Mei 2026.
Rating untuk filem ini: 4/5 ⭐
Ulasan
Catat Ulasan