The Furious (2026)


Selesai menonton sebuah filem action-packed, The Furious (2026). Timing filem ini kebetulan hampir dengan Hari Bapa yang akan diraikan bulan ini, apabila mengenangkan jalan ceritanya.

Straight to the point, sebagaimana begitulah jalan cerita dan plotnya, aku akui, aku suka dengan filem ini disebabkan filem ini berjaya memberikan adrenaline rush, jantung berdegup kencang dan tak senang duduk.

Jalan ceritanya mudah, tanpa ada plot twist, seorang ayah nak cari anak, seorang suami nak cari isteri. Begitu, senang faham. Kita hanya sekadar masuk, duduk, tonton dan nikmati full packed aksi dalam filem ini.

Bercakap tentang aksi, fuhhhh, pergerakan kamera yang kemas. Banyak menggunakan follow the subject and long shot. Sound effects seperti bunyi tumbukan, riukan tulang dan senjata sangat-sangat mengilukan, menambah perisa babak aksi. Apatah lagi, dengan watak yang dibawa Yayan Ruhian, mengingatkan aku adegan aksinya mempunyai aura seperti Mat Kilau.

First act dan second act pun dah cukup mendebarkan dengan konflik yang selapis dua, masuk saja third act dengan sedikit "dark twist" membuatkan kita dah macam, "ah, apa lagi yang mereka akan hadap selepas ini?" Filem ini mengetengahkan aspek pemerdagangan kanak-kanak, gangsterisme dan rasuah dalam kalangan masyarakat.

Sinematografi dan audio filem ini juga sedap mata memandang. Babak gelap pun tidaklah gelap sangat, kena dengan aksi dan intense yang disajikan.
Biarpun begitu, ada beberapa kekurangan yang hanya sedikit sahaja menjadikan filem ini tidaklah di tahap sempurna.

Dialog dan skrip dalam filem ini terasa tidak natural, ada sebahagian babak terasa dubbing. Ada satu watak dalam filem ini yang tiba-tiba kembali menyertai aksi pada third act yang aku rasakan agak janggal dan tidak perlu. Dan ya, "urat sakit" dalam kebanyakan watak dalam filem ini seakan-akan "terputus" kerana biarpun ditibai sampai berdarah, ditetak hingga lunyai pun masih kuat semangat.

Tapi, jika ditolak tepi segala logik, filem ini sangat-sangat menghiburkan dan mendebarkan. Sekiranya anda peminat filem aksi, The Furious adalah sajian yang perlu anda nikmati. Ingin diingatkan filem ini adalah 18 tahun ke atas, disebabkan aksinya agak ganas, ada sedikit sentuhan gore tapi tidak keterlaluan dan banyak darah serta tulang patah.

Rating untuk filem ini: 4/5



Ulasan